Lets Search!

Facebook Connect


Nidji Tidak Tiru

Kutipan dari: hmetro.com.my (malaysia)

Oleh FIRDAUS SAHAT (yang diterbangkan ke Jakarta oleh Warner Music Sdn Bhd)

MENJADI tradisi bagi band Indonesia menghasilkan lagu sendiri. Bukan skeptikal dengan karya komposer lain, tetapi mahu bakat seni yang ada dinilai sendiri oleh peminatnya.

Tidak terkecuali Nidji, jika album pertama mereka berjudul Breakthru’ mendapat sambutan hangat peminat tempatan, album kedua, Top Up pasti memukau dengan karya seni yang lebih bermutu hasil ciptaan mereka sendiri.

Walaupun album kedua kumpulan yang dianggotai enam anak muda iaitu Giring (vokal), Andro (bass), Run-D (keyboard), Rama (gitar), Ariel (gitar) dan Adri (drum) itu belum memasuki pasaran Malaysia, namun di Indonesia ia berjaya mencuri pandang peminatnya.

Nyata lagu hasil ciptaan sendiri lebih berjiwa, malah lebih baik daripada album sulung mereka. Jelas Giring, mereka masih mengekalkan genre pop untuk album kedua. Namun, spekulasi mengatakan mereka meniru konsep beberapa kumpulan dari Barat tidak benar.

“Sebenarnya ramai beranggapan konsep muzik kami sama seperti band Barat iaitu Muse dan Coldplay. Pun begitu, kami tidak pernah terfikir untuk mengambil konsep mereka untuk meneruskan kerjaya seni ini.

“Mungkin ada sedikit persamaan antara muzik kami dengan mereka, tetapi kami tidak meniru. Mungkin disebabkan kumpulan dari Barat sudah lama memulakannya berbanding kami, jadi kami dikecam begitu,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Giring, mereka menjadikan muzik dibawa kumpulan The Police dari Paris sebagai contoh. Bukan mahu meniru, tetapi menjadikan mereka sebagai mentor.

“Kami mahukan karya tulen dan sebab itu kami tidak meniru konsep dibawa mereka. Namun, kami menjadikan kumpulan itu sebagai contoh, malah muzik mereka juga ada sedikit persamaan dengan kami.

“Selepas membuat kajian dan membandingkan muzik kami dengan mereka, kami memilih konsep itu dan berusaha membawa muzik dengan cara tersendiri, malah cuba menghasilkan lagu yang enak ketika didendangkan.

“Nyata, ia menjadi kekuatan buat kami. Kini, Nidji tampil dengan muzik berbeza berbanding muzik dibawa band lain.

“Kami yakin kehadiran album kedua pada awal tahun depan akan dapat memikat peminat muzik di Malaysia. Selain itu, kami akan mengadakan jelajah di Malaysia pada 22 hingga 27 Januari bagi mempromosi album ini,” katanya.

Mengulas judul yang digunakan untuk album kedua, Nidji memilih Top Up kerana mereka ingin kekal dalam industri. Selain itu, mereka memasang cita-cita untuk terus meningkat sejajar judul dipilih.

“Bukan mudah untuk ada di puncak. Pun begitu, kami memasang angan-angan untuk berjaya dalam bidang penuh mencabar ini.

“Untuk terus kekal dalam industri, kami perlu membawa muzik ringkas tetapi pelbagai seperti muzik yang kami bawa kini. Harap-harap percubaan kami dapat membuka ruang luas untuk meneruskan perjalanan dan diterima pencinta muzik,” katanya.

Mengenai Top Up, Nidji tampil dengan mengetengahkan single pertama berjudul Biarlah. Menurut Giring, lagu itu dicipta berdasarkan pengalamannya sendiri.

“Sebenarnya, single itu lahir daripada pengalaman saya. Ia menceritakan kisah percintaan saya yang kecundang di tengah jalan. Tak sangka, pantas ia berjaya memikat pendengar.

“Selain itu, dalam album kedua, kami turut menampilkan 10 lagu baru. Antaranya Arti Sahabat, Cinta Tidak Pernah Sama, Jangan lupakan dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, sesi pelancaran album Top Up yang diadakan minggu lalu di Jakarta dihadiri ratusan peminat mereka, selain media tempatan dan juga dari Malaysia. Lebih menarik, majlis pelancarannya disiarkan secara langsung menerusi 20 stesen radio di sana.

Yang boleh dibanggakan dengan album kedua ini, ia menampilkan muzik menarik. Selain peminat Nidji, media di Indonesia memuji album kedua hasil ciptaan enam anak muda ini, malah beranggapan mereka mampu melangkah lebih jauh.

No comments: