Lets Search!

Facebook Connect


Nidji Popular Mendadak

LAGU Sudah yang selalu dimainkan di radio belum benar-benar memberi impak akan kehadiran kumpulan Nidji di Malaysia. Ramai yang menggemari lagu itu, namun tidak begitu mengenali kumpulan enam anak muda yang mendendangkannya. Mungkin kerana kekerapan kunjungan artis dari seberang membuatkan kunjungan pertama Nidji ke negara ini Julai lalu tidak begitu menggamit perhatian.

Lain halnya di negara asal mereka, Indonesia. Nidji dilihat sebagai pendatang baru yang meniti puncak populariti selepas tampil dengan album sulung mereka, Breakthru yang mula dipasarkan tahun ini.

Dengan identiti muzik sedikit berbeza daripada barisan kumpulan muzik sedia ada, Nidji berjaya membuatkan khalayak pencinta muzik di Indonesia menyedari kehadiran mereka dalam arena muzik.
Kumpulan yang ditubuhkan sejak enam tahun lalu ini dianggotai Giring selaku vokalis, Rama dan Ariel (pemain gitar), Randy (pemain keyboard), Andro (pemain bass) dan Adri (pemain dram).


Mula membuat persembahan di acara kecil sekitar Jakarta, keunikan konsep muzik yang dibawakan Nidji akhirnya memberi peluang kepada mereka untuk melebarkan lagi pengaruh mereka dalam industri muzik Indonesia.

Muzik alternatif moden, kental dengan unsur pop British yang alunannya begitu relaks dan menenangkan mungkin faktor utama mengapa lagu yang dimainkan kumpulan ini cepat `ditangkap’ telinga yang mendengarnya.

Biarpun ruang muzik Indonesia dibanjiri artis yang membawakan genre muzik yang pelbagai, elemen muzik ala britpop seperti yang ditampilkan Nidji tidak begitu menonjol sehinggalah mereka mempopularkannya.
Ramai yang menyuarakan identiti muzik Nidji ada iras-iras muzik yang dibawa kumpulan muzik terkenal antarabangsa, Coldplay.

Tidak menyangkal, malah kumpulan ini mengakui mereka sememangnya terpengaruh dengan muzik yang dibawakan kumpulan muzik asal British.

“Coldplay satu antaranya. Kami juga banyak mendengar muzik yang dimainkan Radiohead, Embrace dan banyak lagi. Sedikit sebanyak ia mempengaruhi karya yang kami hasilkan.

“Namun, kami tidaklah meniru. Apa yang ditampilkan adalah muzik kami, identiti kami.

“Breakthru adalah pengenalan, dalam perjalanan (dalam industri) ini, masih banyak ruang yang perlu diterokai,” jelas mereka ketika ditemui pada Konsert A Mild Live Soundrenaline: Rock United (Rock United) di Ancol, Jakarta, baru-baru ini.

Oleh kerana populariti yang diraih agak mendadak, kesibukan memenuhi undangan persembahan kadangkala menerbitkan rasa rindu mereka kepada kehidupan sebelum menjadi artis.

“Jarang sekali kami dapat berehat di rumah dan setiap hari kami akan berada di tempat yang berbeza. Kami terlalu rindukan rumah, keluarga dan teman-teman. Hinggakan ada teman yang mengatakan kami sombong.

“Namun kami tidak menyesal kerana sebelum menceburi bidang ini kami sudah maklum inilah risikonya. Kami tetap meneruskan perjuangan, berkongsi kecintaan muzik kami dengan yang lain,” kata Rama dan Andro.

Turut mengikuti rombongan media bertemu Nidji adalah pemenang peraduan Go Holiday bersama Nidji anjuran i-Kon, Air Asia dan Warner Music Malaysia iaitu Abd Syukur Abdullah, 29 dan Abdul Saman Taip, 30.

Ternyata, walaupun sebelum ini hanya mendengar nama Nidji melalui lagu yang diputarkan di radio, kesempatan bertemu empat mata dan menyaksikan persembahan live mereka di konsert Rock United itu terus membuatkan mereka menggemari kumpulan ini.

“Muzik mereka memang istimewa lebih-lebih lagi dalam persembahan live. Kami amat gembira dapat bertemu dengan mereka dan menjangkakan mereka ada potensi untuk terkenal di Malaysia,” kata mereka.

Sumber: bharian.com.my

No comments: