KUMPULAN dari Indonesia, Nidji yang popular dengan lagu Sudah, bakal kembali ke negara ini dalam rangka promosi album Breakthru’ yang dilancarkan semula dalam pakej baru.
Menurut Eksekutif Kanan Promosi Warner Music Malaysia, Aida Husin, sempena promosi itu, kumpulan yang dianggotai enam anak muda itu bakal mengadakan satu persembahan khusus buat peminat setianya.
Persembahan yang dijayakan dengan kerjasama Channel (V) itu akan diadakan pada 23 Mac ini di pusat hiburan Ruums, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pukul 8.30 malam.
Pada persembahan itu nanti, mereka akan menyampaikan enam lagu popular Nidji.
Breakthru’ dipasarkan sejak 6 Mac lalu. Album pakej semula edaran Warner Music Malaysia itu turut menampilkan bonus tiga klip video lagu-lagu Sudah, Hapus Aku dan Bila Aku Jatuh Cinta.
Ditubuhkan sejak 2002, Nidji yang membawa maksud `pelangi’ itu dianggotai oleh Giring sebagai penyanyi utama, Andro (pemain bass), Run-D (keyboard), Rama (gitar), Ariel (gitar) dan Adri (dram).
Pernah hadir ke Malaysia melancarkan album mereka tahun lepas, setakat ini Nidji telah mengeluarkan tiga single iaitu Child, Sudah dan Hapus Aku yang popular di corong-corong radio tempatan.
Malah sesuatu yang membanggakan bagi Nidji apabila lagunya Breakthru’ telah dipilih menjadi lagu latar bagi siri TV popular Heroes.
Drama bersiri mengenai sekumpulan manusia yang mempunyai kuasa luar biasa itu kini sedang ditayangkan di Star World (Saluran 70 Astro) pada setiap Rabu, pukul 9 malam.
Album Nidji yang membawa konsep alternatif rock itu setakat ini telah terjual sehingga 300,000 unit di Indonesia.
Kepada peminat mereka, jangan lupa saksikan persembahan istimewa lagi unik Nidji yang menjadikan kumpulan Goo Goo Dolls dan Radiohead sebagai sumber inspirasi mereka.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment